Rekreasi Dan Pelancongan
Berikut merupakan kawasan rekreasi dan pelancongan yang menjadi tarikan penduduk di sekitar Melugu Skim.
Sungai Dor
Sungai Dor di kawasan Melugu terletak lebih kurang 10 km dari simpang masuk ke Melugu. Sungai ini dikenalpasti memiliki keindahan flora dan fauna yang mampu menarik minat penduduk sekitar Melugu atau pelancong luar yang ingin merasai dan menikmati keindahan tempat ini. Selain itu, Sungai Dor juga membekalkan bekalan air bersih kepada penduduk Kampung Melugu melalui Loji Pembersihan Air Melugu. Sungai Dor ini dapat diakses memandangkan ia terletak di bawah jambatan yang merentangi laluan jalan ke kawasan Kampung Po-Ai dan Kampung Klauh. Sungai Dor ini akan dipenuhi dengan kehadiran penduduk yang berkelah setiap kali tibanya musim cuti sekolah.
Sungai Bayan
Sungai Bayan merupakan sungai kedua yang terletak di kawasan Melugu. Kelebaran sungai ini lebih kecil daripada Sungai Dor memandangkan ia merupakan pecahan daripada Sungai Dor. Sungai Bayan juga dapat diakses oleh penduduk memandangkan ia terletak di bawah jambatan yang merentangi laluan jalan ke kawasan Kampung Po-Ai dan Kampung Klauh sama seperti Sungai Dor.
Kedai Makan
Kedai makan yang dikenali sebagai Midsar Café ini dimiliki oleh Encik Ng Huang Chung (Pansoi) telah beroperasi sejak tahun 2016. Kedai makan ini dikenali kerana ia merupakan perhentian kebanyakan pemandu bas ekspress dari kawasan sekitar Sri Aman atau dari kawasan yang lain. Kedai makan ini juga turut menyediakan kopi luwak atau kopi musang yang berkualiti. Perkhidmatan katering juga disediakan oleh pihak Midsar Café.
Chong Leng Enterprise
Chong Leng Enterprise ini dimiliki oleh En. Bong Kee Chong yang mula beroperasi dari tahun 2000 sehingga sekarang di kawasan Melugu Tengah. Kedai ini beroperasi pada setiap hari dari jam 6.00 pagi hingga 9.00 malam kecuali Cuti Umum. Chong Leng Enterprise menjadi tumpuan penduduk sekitar dan para pekerja Naim Gamuda yang melakukan kerja pembinaan jalan di kawasan berdekatan kerana ia merupakan kedai makan sekaligus kedai runcit yang menjual barangan keperluan harian dengan harga yang berpatutan. Kedai ini juga memiliki kawasan memarkir kenderaan yang luas.
Kubau Dor
Sungai Kubau Dor terletak lebih kurang 16km dari simpang masuk ke Kampung Melugu dan merupakan kawasan hulu Sungai Dor. Sungai ini sering menjadi tempat perkelahan penduduk setempat dan orang luar yang ingin menikmati keindahan flora fauna dan kedinginan air yang berbatu. Sungai Kubau Dor ini boleh diakses menggunakan kenderaan seperti kereta, pacuan empat roda dan motosikal.
Mount Hosanna Chapel
Mount Hosanna Chapel merupakan sebuah bangunan gereja untuk penganut agama Roman Katolik yang terletak kira-kira 33 km dari Bandar Sri Aman dan 157 km dari Bandaraya Kuching, Sarawak. Senibina gereja ini melambangkan 3 lilin yang bermaksud “Trinity” mengikut kepercayaan penganut agama Roman Katolik. Di dalam doktrin Kristian, “Trinity” melambangkan “Father, Son and Holy Spirit”.
Homestay Rumah Tr Wilson Bana, Po-Ai Dau
Homestay ini terletak lebih kurang 27 KM daripada bandar Sri Aman dan bersempadan dengan Indonesia di antara banjaran Bukit Kelingkang. Nama rumah panjang Po-Ai diambil sempena dengan nama sejenis ular yang kononya banyak terdapat di sungai tempat penduduk mandi-manda pada ketika itu. Maka nama sungai yang dihuninya dinamakan Ai yang membawa kepada nama Sungai Po-Ai.
Homestay ini memberi pengalaman kepada pelancong yang berminat untuk mengalami kehidupan dan kebudayaan masyarakat kampung. Homestay ini juga menyediakan hospitaliti desa dengan harga yang kompetitif dan bertaraf antarabangsa. Untuk keterangan lanjut, pihak yang berminat boleh menghubungi TR Wilson Bana di talian 014-5778580.
Rumah Jumat anak Enggat, Po-Ai
Rumah panjang unik yang terdapat di Sri Aman iaitu Rumah Panjang Jumat anak Enggat, Po-Ai, Sri Aman. Rumah panjang ini berkonsepkan ukiran tradisional Iban dimana ukiran tersebut diukir sendiri oleh penduduk rumah panjang tersebut. Rumah panjang ini telah mendapat banyak anugerah oleh kecantikan ukiran dan kebersihan yang diamalkan oleh penduduk rumah panjang di Po-Ai.
Wong Tapang Rumput Gua
Wong Tapang Rumput Gua merupakan sebuah kawasan rekreasi yang sesuai untuk aktiviti seperti berkelah. Lokasinya terletak di Jalan Sri Aman-Kuching dan 1.5km dari Kampung Gua Kawasan ini diusulkan oleh Tuai Rumah Milu pada tahun 1998, dan diberi peruntukan oleh Majlis Daerah Sri Aman. Mata air jernih di sini mengalir dari Banjaran Kelingkang yang merupakan banjaran terpanjang di Borneo dan juga sempadan antarabangsa antara Malaysia dan Indonesia.
Wong Tapang Rumput mempunyai air terjun yang deras, beberapa buah lubuk dan pemandangan alam semula jadi yang menjadi tarikan istimewa untuk beriadah bersama keluarga dan teman-teman. Tempat ini juga turut mempunyai kemudahan asas seperti tandas, beberapa pondok berehat, tempat memanggang, laluan bersimen dan tempat meletak kenderaan yang luas untuk keselesaan para pengunjung.