Program Bersama JKKK Melugu Skim – Membuat Kuih Tradisional Iban

21 Mei 2023 | Aktiviti Terkini

Pada 20 Mei 2023, Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Melugu telah menyertai Program Bersama JKKK Melugu Skim iaitu membuat kuih tradisional Iban yang bertempat di Dewan JKKK Melugu Skim. Program yang dianjurkan oleh JKKK Melugu Skim ini disertai oleh penduduk Melugu Skim yang bertujuan untuk memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai cara pembuatan kuih tradisional Iban serta untuk mengeratkan hubungan sesama penduduk kampung. Program ini dimulai dengan aktiviti membancuh tepung bagi membuat kuih tradisional Iban iaitu kuih cuan. Peserta dikehendaki membawa sendiri alatan-alatan yang akan digunakan seperti dapur memasak, tong gas, bakul, besen, acuan dan lain-lain lagi manakala bahan-bahan seperti tepung gandum, tepung sagu, gula pasir, gula apong dan minyak telah disediakan oleh pihak JKKK Melugu Skim.

Pihak JKKK Melugu Skim juga telah menyediakan beg plastik bagi membungkus kuih cuan yang telah siap dihasilkan. Peserta yang tidak terlibat dengan aktiviti membuat kuih cuan diminta untuk membancuh minuman dan memasak nasi serta lauk untuk hidangan makanan tengahari. Terdapat juga peserta yang melakukan aktiviti lain seperti memasak pansuh ayam, memasak pulut dalam buluh, membasuh peralatan yang telah digunakan, membungkus kuih cuan dan menyediakan sistem PA. Program ini diteruskan dengan aktiviti pembahagian kuih cuan dan kuih sarang semut (penganan) berdasarkan senarai nama yang diserahkan mengikut jumlah penduduk di sesebuah kawasan di Melugu Skim. Setiausaha JKKK Melugu Skim iaitu TR Bangga telah meminta kehadiran seorang wakil iaitu Tuai Rumah di setiap kawasan di Melugu Skim untuk mengambil kuih yang telah diagihkan dan akan membahagikannya dengan penduduk di kawasan berkenaan. Program diakhiri dengan aktiviti gotong-royong mengemas dewan yang telah digunakan.

Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan:

Kembali Ke Atas

kembali