Program Hari Keluarga Bersama Tabika KEMAS Melugu Skim

29 Jun 2023 | Aktiviti Terkini

Pada 28 Jun 2023, Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Melugu telah dijemput untuk menyertai Program Hari Keluarga anjuran Tabika KEMAS Melugu Skim. Program yang disertai oleh murid- murid, guru-guru, pegawai-pegawai KEMAS, ibubapa dan para jemputan yang lain bertujuan untuk menggalak dan mengembangkan bakat, kebolehan, minat, kreativiti dan penguasaan pelbagai elemen kemahiran kanak-kanak. Selain itu, program ini juga dapat mewujud dan meningkatkan semangat serta hubungan kerjasama sosial antara Tabika dengan jawatankuasa aktiviti, ibubapa/penjaga, pemimpin tempatan serta masyarakat.

Program ini dimulai dengan aktiviti pertandingan mewarna yang disertai oleh kanak-kanak Tabika KEMAS Melugu Skim. Selepas ketibaan para tetamu jemputan dan Yang Berhormat Dato Sri’ Doris Sophia Brodie yang merangkap ahli Parlimen P202 Sri Aman, hadirin diminta untuk berdiri bagi menghormati lagu Negaraku dan Ibu Pertiwiku serta lagu Tabika KEMAS. Program diteruskan dengan persembahan dari kanak-kanak Tabika KEMAS Melugu Skim. Selain itu, TR Siti Amid yang merupakan Pengerusi Tabika KEMAS Melugu Skim telah memberi ucapan dengan menerangkan mengenai sejarah penubuhan Tabika KEMAS tersebut.

Pn. Marinda Steward Thaim yang merupakan Pegawai KEMAS bagi bahagian Sri Aman turut memberi ucapan alu-aluan kepada tetamu jemputan. Program diteruskan lagi dengan ucapan daripada Yang Berhormat Dato Sri’ Doris Sophia Brodie sekaligus merasmikan Hari Keluarga Tabika KEMAS Melugu Skim. Di samping itu, Dato Sri’ Doris telah menyampaikan hadiah bagi Pertandingan Mewarna Kanak-kanak yang berlangsung pada awal pagi. Pihak KEMAS turut menyampaikan cenderahati kepada beliau atas kesudiannya untuk menghadiri program ini. Program diakhiri dengan jamuan makan tengahari dan lagu tajaan.

Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan:

Kembali Ke Atas

kembali