Program Kursus Kemahiran Jangka Pendek (KKJP) Seni Tangan – Kraftangan Kreatif Parlimen Sri Aman

16 Oktober 2020 | Aktiviti Terkini

Pada 15 Oktober 2020 (Khamis) yang lalu, Pusat Internet Melugu telah mengadakan Program Kursus Kemahiran Jangka Pendek (KKJP) dengan kerjasama daripada Unit Pendidikan Kemahiran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Sri Aman. Program ini disertai oleh kaum ibu-ibu di sekitar kawasan Melugu. Kursus jangka pendek yang berasaskan “Quick Win” bertujuan untuk memberi kesan segera kepada pelatih/peserta kursus untuk memulakan perniagaan bagi menjana pendapatan. Melalui strategi ini, KEMAS melaksanakan kursus kemahiran asas yang boleh memberi peluang perniagaan kepada pelatih/peserta KEMAS setelah tamat mengikuti latihan berkenaan. Kursus kemahiran ini dilaksanakan dalam tempoh yang singkat iaitu 1 hingga 3 hari dengan memfokuskan kepada kumpulan sasar yang terdiri daripada belia, beliawanis, ibu tunggal dan suri rumah di kawasan luar bandar.

Program ini dimulai dengan pendaftaran peserta kursus oleh Cik Rosaini, Penyelia PIKOM, KEMAS Sri Aman dan sesi taklimat serta pengenalan kursus oleh Encik Kevin Lambai, Penyelia PIKOM, KEMAS Sri Aman. Taklimat ini merangkumi aktiviti yang akan diadakan selama 2 hari iaitu amali dan latihan membuat tote bag dan apron daripada kain jeans serta menghias kotak tisu daripada kain felt. En. Kelvin juga menerangkan mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi sepanjang kursus ini dijalankan. Dalam kursus ini, staff KEMAS telah menyediakan peralatan-peralatan seperti mesin jahit elektrik, alatan menjahit, kain jeans yang telah siap dipotong, tali beg, kain felt, kotak tisu, dan bahan-bahan untuk hiasan. Selain itu, terdapat juga peserta yang turut membawa peralatan menjahit sendiri dari rumah. Pada waktu pagi, peserta telah ditunjukkan amali cara-cara menjahit tote bag dari kain jeans menggunakan mesin jahit elektrik dan diminta untuk menjahit tote bag mereka sendiri mengikut apa yang telah ditunjukkan.

Pada waktu petang, peserta diminta untuk menghias kotak tisu daripada kain felt menggunakan gam panas mengikut kreativiti masing-masing. Aktiviti lain yang turut diadakan adalah jamuan minum pagi dan makan tengahari yang disediakan oleh KEMAS Sri Aman.

Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan:

Kembali Ke Atas

kembali