Kelas E-learning – Interland (Be Internet Awesome) & Advokasi
25 Oktober 2020 | Aktiviti TerkiniPada 24 Oktober 2020, Pusat Internet Melugu telah mengadakan kelas E-learning iaitu Interland (Be Internet Awesome) dan Advokasi. Kelas ini bertujuan untuk memperkenalkan permainan maya Interland kepada pelajar dan mengajar mereka mengenai keselamatan internet melalui permainan yang mencabar minda. Pembelajaran dimulakan dengan pengenalan mengenai Interland iaitu permainan maya berupa pengembaraan yang membolehkan pelajar mempelajari tentang keselamatan digital dimana mereka memerangi penggodam dan pembuli cyber dengan memahami kemahiran-kemahiran yang diperlukan untuk menjadi pengguna digital yang baik. Pelajar diterangkan mengenai konsep permainan dimana mereka akan dibawa menjelajah 4 buah pulau terapung iaitu Kind Kingdom, Reality River, Mindful Mountain dan Tower of Treasure yang memiliki jenis permainan dan pembelajaran internet yang berbeza.
Pelajar diminta untuk bersedia sebelum membuat keputusan yang akan menentukan kiraan markah dalam setiap peringkat permainan. Markah akan ditambah sekiranya pelajar berjaya menjawab setiap soalan dengan betul manakala markah akan ditolak jika jawapannya adalah salah. Permainan ini juga turut membantu pelajar dalam mengenal pasti maklumat yang dapat atau tidak dapat dikongsi dalam media sosial. Selain itu, peserta juga telah diterangkan mengenai jenayah siber iaitu merupakan jenayah komputer yang terdiri daripada unsur penipuan, kerosakan atau pengubahsuaian data komputer, penggodaman atau pencurian maklumat. Peserta diingatkan untuk tidak terlalu mendedahkan data peribadi mereka atau orang lain dalam media sosial supaya tidak menjadi mangsa penjenayah siber. Mereka juga diminta untuk melaporkan sebarang jenayah yang melibatkan kebocoran maklumat peribadi mereka atau orang dewasa kepada pihak berkuasa.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: