Program Keluarga Sejahtera & Advokasi
28 Februari 2018 | Aktiviti TerkiniPada 27 Februari 2018 (Selasa) yang lalu, Pusat Internet 1 Malaysia Melugu telah mengadakan Program Keluarga Sejahtera dengan kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Sri Aman dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Sri Aman. Program tersebut berlangsung di Bilik Latihan PI Melugu dan perkarangan PI Melugu. Program ini berlangsung dari jam 0200 hingga 0500 petang dengan kehadiran seramai 100 orang tetamu jemputan termasuk ketua-ketua kampung, JKKK kampung, pegawai bomba dan staff dari Jabatan Kemas Sri Aman serta penduduk sekitar Melugu.
Program Keluarga Sejahtera ini diadakan adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada golongan sasaran mempelajari ilmu yang berkaitan dengan kesejahteraan keluarga. Selain daripada itu, tujuan yang lain adalah untuk melahirkan modal insan dengan ilmu kesihatan, pendidikan dan ekonomi. Program ini dimulai dengan sesi ceramah keselamatan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Sri Aman yang disampaikan oleh Encik Jilin anak Itar, Pegawai Kanan Bomba II. Ceramah beliau adalah berkenaan dengan cara untuk mengelakkan kebakaran di kawasan rumah panjang atau rumah persendirian. Beliau turut menjelaskan cara penggunaan pemadam api yang betul kepada para hadirin.
Selain itu, Pengurus PI Melugu telah menyampaikan ceramah berkenaan dengan advokasi iaitu Online Grooming dan tayangan video Rage.com.my. Ceramah ini berkenaan dengan maksud dan tujuan online grooming serta panduan kepada ibu bapa/penjaga terhadap tingkahlaku anak-anak mereka. Ceramah seterusnya disampaikan oleh En. Kelvin Lambai, iaitu Penyelia PIKOM, KEMAS Sri Aman. Ceramah beliau adalah berkenaan dengan peranan JKKK di sesebuah kampung atau rumah panjang.
Beliau menggalakkan setiap ketua kampung/tuai rumah untuk mengemaskini profil kampung setiap tahun. Profil kampung tersebut mengandungi aspek kepimpinan, pemerkasaan belia, pembangunan infrastruktur, teknologi maklumat, pertanian, program kemerdekaan pada bulan Ogos, kesihatan (KOSPEN) dan pendidikan. Aktiviti lain yang turut diadakan adalah seperti pendaftaran pengundi baru, demostrasi masakan dan jamuan ringan yang telah disediakan oleh kakitangan-kakitangan KEMAS Sri Aman.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: