Jemputan Sebagai Penceramah Untuk Program Keluarga Sejahtera Di Rumah Jumat Anak Enggat, Po-Ai, Sri Aman
14 Mac 2018 | Aktiviti TerkiniPada 13 Mac 2018 (Selasa) yang lalu, Pengurus dan Penolong Pengurus Pusat Internet 1 Malaysia Melugu telah dijemput oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Sri Aman sebagai penceramah bagi Program Keluarga Sejahtera. Program tersebut berlangsung di Rumah Jumat anak Enggat, Po-Ai, Sri Aman dari jam 0200 hingga 0600 petang dengan kehadiran seramai kira-kira 100 orang tetamu jemputan termasuk ketua-ketua kampung, JKKK kampung, pegawai bomba,staff dari Jabatan Kemas Sri Aman serta ibu bapa di sekitar kawasan berkenaan.
Program Keluarga Sejahtera ini diadakan adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada golongan sasaran mempelajari ilmu yang berkaitan dengan kesejahteraan keluarga. Selain daripada itu, tujuan yang lain adalah untuk melahirkan modal insan dengan ilmu kesihatan, pendidikan dan ekonomi. Program ini dimulai dengan sesi ceramah keselamatan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Sri Aman yang disampaikan oleh Encik Freddy anak John. Ceramah beliau adalah berkenaan dengan cara untuk mengelakkan kebakaran di kawasan rumah panjang atau rumah persendirian. Beliau turut menjelaskan cara penggunaan pemadam api yang betul kepada para hadirin.
Selain itu, Pengurus PI Melugu telah menyampaikan ceramah berkenaan dengan advokasi iaitu Online Grooming dan tayangan video Rage.com.my. Ceramah ini berkenaan dengan maksud dan tujuan online grooming serta panduan kepada ibu bapa/penjaga terhadap tingkahlaku anak-anak mereka. Ceramah seterusnya disampaikan oleh En. Kelvin Lambai, iaitu Penyelia PIKOM, KEMAS Sri Aman. Ceramah beliau adalah berkenaan dengan peranan JKKK di sesebuah kampung atau rumah panjang. Beliau menggalakkan setiap ketua kampung/tuai rumah untuk mengemaskini profil kampung setiap tahun. Profil kampung tersebut mengandungi aspek kepimpinan, pemerkasaan belia, pembangunan infrastruktur, teknologi maklumat, pertanian, program kemerdekaan pada bulan Ogos, kesihatan (KOSPEN) dan pendidikan. Aktiviti lain yang turut diadakan adalah seperti pendaftaran pengundi baru, demostrasi masakan dan jamuan ringan yang telah disediakan oleh kakitangan-kakitangan KEMAS Sri Aman.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: