Program Bersama Komuniti : Hari Terbuka Pusat Internet Bengoh 2018
28 Oktober 2018 | Aktiviti TerkiniPada 27 Oktober 2018 (Sabtu) yang lalu, Pusat Internet Bengoh telah mengadakan Program Hari Terbuka dengan kerjasama daripada PI Melugu, PI Sg Bandung dan PI Kg Quop. Program tersebut berlangsung di PI Bengoh dan Dewan Masyarakat Kg Semban. Program ini berlangsung dari jam 0800 pagi hingga 0500 petang dengan kehadiran kira-kira seramai 100 orang pengunjung termasuk peserta yang mendaftar untuk menyertai pertandingan anjuran pihak PI Bengoh.
Program Hari Terbuka PI Bengoh telah dirasmikan oleh YB Datuk Dr. Jerip anak Susil, ADUN N19 Mambong. Selain itu, Program Hari Terbuka PI Bengoh turut dihadiri oleh wakil-wakil daripada Maxis, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan ketua-ketua kampung di sekitar kawasan Pusat Internet Bengoh. Tambahan pula, terdapat kakitangan PI lain yang turut hadir untuk membantu pelaksanaan Program Hari Terbuka ini supaya ia dapat berjalan dengan lancar.
Program Hari Terbuka PI Bengoh ini diadakan bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim sesama komuniti dan memperjelas tentang kewujudan PI Bengoh iaitu untuk merapatkan jurang digital antara penduduk bandar dan luar bandar. Selain itu, PI juga membantu masyarakat setempat untuk meningkatkan taraf ekonomi dan pengetahuan dalam dunia digital masa kini.
Pelbagai jenis aktiviti dan pertandingan dijalankan sepanjang program tersebut yang melibatkan komuniti. Pada sebelah pagi, pihak PI Bengoh telah mengadakan ceramah/tayangan video advokasi KDB, pertandingan menyusun puzzle KDB, pertandingan mewarna digital dan pertandingan meneka silang kata KDB untuk bahagian ICT. Pada masa yang sama, kaunter pendaftaran seperti daftar kehadiran, daftar keahlian percuma, daftar kelas ICT, keusahawanan, advokasi, pembelian tiket cabutan bertuah, demonstrasi latihan kebakaran bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat, program e-waste, pemeriksaan kesihatan secara percuma serta pameran gerai jualan untuk bahagian keusahawanan turut dijalankan di Dewan Masyarakat Kg Semban. Pada sebelah petang pula, majlis diserikan lagi dengan kehadiran tetamu-tetamu jemputan, ucapan perasmian majlis, penyampaian hadiah dan cabutan bertuah. Selain itu, tetamu kehormat juga dijemput untuk mendengar sesi taklimat yang disampaikan oleh Pengurus Pusat Internet Bengoh di Bilik Latihan PI Bengoh. Tetamu kehormat turut dijemput untuk menghadiri jamuan makan tengahari di PI Bengoh.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: